Announcements

Stay updated with the latest happenings.

Kutipan Tol Lebuhraya DASH Bermula 1 Disember 2022

Kutipan Tol Lebuhraya DASH Bermula 1 Disember 2022

Kuala Lumpur, 30 November 2022 – Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd, syarikat pemegang konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) ingin memaklumkan bahawa kutipan tol akan bermula pada Khamis, 1 Disember 2022 jam 12.01 tengah malam.  

Pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya DASH 13 Oktober lalu, kerajaan telah mengumumkan lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer itu dibuka kepada pengguna secara percuma selama 48 hari bermula 14 Oktober sehingga 30 November 2022.

Kadar tol yang sama akan dikenakan kepada pengguna yang melalui ketiga-tiga plaza tol Lebuhraya DASH iaitu Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol Kota Damansara mengikut kelas kenderaan seperti berikut: 

KADAR TOL LEBUHRAYA DAMANSARA-SHAH ALAM (DASH) 

Jenis 

Kelas Kenderaan 

Butiran 

Kadar Tol (RM) 

Kereta 

Kenderaan yang mempunyai dua gandar dan tiga atau empat roda (tidak termasuk teksi dan bas)

 2.30

Lori 

Kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda (tidak termasuk bas)

4.60

Treler 

Kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih (tidak termasuk bas)

6.90

Kereta 

Teksi

1.20

Bas 

Bas

2.30

Kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID. Sehubungan itu, pengguna disarankan agar memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet adalah mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya DASH. 

Bahagian Operasi Lebuhraya DASH akan sentiasa memantau kelancaran sistem kutipan tol di ketiga-tiga plaza tol selain menempatkan petugas di lorong plaza tol kedua-dua arah lebuh raya terutama pada waktu puncak bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan.  

Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi yang dituju. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi DASH hotline di talian 1 300 88 5522. 

Lebuhraya DASH ialah satu daripada enam lebuh raya kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang.