Announcements

Stay updated with the latest happenings.

Kutipan Tol Lebuhraya SUKE Bermula 15 Oktober

Kutipan Tol Lebuhraya SUKE Bermula 15 Oktober

Kuala Lumpur, 14 Oktober 2022 – Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd, syarikat pemegang konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ingin memaklumkan bahawa kutipan tol akan dikenakan kepada pengguna bermula Sabtu, 15 Oktober 2022 jam 12.01 tengah malam.  

Kutipan tol ini melibatkan jajaran fasa 1 iaitu dari Persimpangan Cheras–Kajang hingga Persimpangan Bukit Antarabangsa yang telah dibuka kepada pengguna pada 16 September 2022 lalu. 

Bayaran akan dikenakan kepada pengguna yang melalui Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang dengan kadar tol mengikut kelas kenderaan seperti berikut: 

KADAR TOL LEBUHRAYA SUNGAI BESI-ULU KELANG (SUKE) 

Jenis 

Kelas Kenderaan 

Butiran 

Kadar Tol (RM) 

Kereta 

Kenderaan yang mempunyai dua gandar dan tiga atau empat roda (tidak termasuk teksi dan bas)

2.30 

Lori 

Kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda (tidak termasuk bas)

4.60 

Treler 

Kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih (tidak termasuk bas)

6.90 

Kereta 

Teksi

1.20 

Bas 

Bas

2.30 

Kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID. Sehubungan dengan itu, pengguna disarankan agar memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet adalah mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya SUKE. 

Bahagian operasi SUKE akan sentiasa memantau kelancaran sistem kutipan tol di kedua-dua plaza tol selain menempatkan petugas di lorong plaza tol kedua-dua arah lebuh raya terutama pada waktu puncak bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan.  

Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi yang dituju. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi SUKE hotline di talian 1-300-88-9922. 

Pihak syarikat berterima kasih atas sokongan dan maklum balas yang diterima sepanjang sebulan fasa 1 Lebuhraya SUKE dibuka dan berharap akan meraih sokongan berterusan daripada pengguna untuk fasa operasi selanjutnya.

Lebuhraya SUKE ialah satu daripada enam lebuh raya kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang.