CSR

PROLINTAS bersama YAKEB Bantu Bekas Atlet Negara Asah Bakat Sukan Anak-Anak Jalanan

PROLINTAS bersama YAKEB Bantu Bekas Atlet Negara Asah Bakat Sukan Anak-Anak Jalanan

Kuala Lumpur, 26 Ogos 2022 Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dalam membantu bekas atlet negara mengasah bakat sukan anak-anak jalanan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) menerusi ‘Sports Community Programme’ dengan terlaksananya sesi latihan sukan ‘Learn from the Pros’ tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, penglibatan dalam program ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan syarikat di bawah teras pendidikan bagi memupuk pembangunan diri dan memperkasakan pembinaan karakter untuk pelajar sekolah.

Katanya, PROLINTAS menyediakan dana untuk membiaya kos jurulatih-jurulatih yang terdiri daripada bekas atlet negara serta menampung kos pembelian peralatan dan keperluan sukan untuk atlet sekolah itu termasuk baju sukan, beg sukan dan kasut olahraga.

“Penglibatan PROLINTAS dalam program ini dilihat sebagai serampang dua mata dengan memberi peluang untuk bekas atlet negara menyumbang kepakaran yang dimiliki mereka kepada pelajar sekolah bagi menjana pendapatan, sementara turut memberi manfaat kepada anak kurang bernasib baik di SBJK menerima ilmu sukan daripada bekas atlet profesional,” ujar Dato’ Mohammad Azlan.

“Selain memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya, kami juga sentiasa peka dan prihatin terhadap kemaslahatan komuniti sekitar lebih-lebih lagi golongan yang memerlukan,” tambah beliau.

Terdahulu berlangsung Majlis Pelancaran Kelab Sukan SBJK yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan di ibu negara dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi (Komersial dan Kewangan) PROLINTAS Malik Parvez Ahmad Nazir Ahmad, Pengerusi YAKEB Dato’ Hj Noorul Ariffin Abdul Majeed serta beberapa bekas atlet negara seperti Dato’ Haji Abdul Malek Mohamed Noor (jaguh bina badan Asia) serta dua bekas pemain bola sepak kebangsaan; Abd Mohd Khalid Mohd Ali dan Datuk Santokh Singh.

Untuk rekod, PROLINTAS dan YAKEB pernah bekerjasama bagi mengadakan sesi perkongsian secara dalam talian bersama bekas atlet negara untuk pelajar UniRazak. YAKEB juga telah bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara, Majlis Belia Negara dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) sukan lain untuk mengendalikan beberapa modul khas kerjaya melibatkan bekas atlet negara dan pelajar kurang berkemampuan.

Pengerusi YAKEB Dato’ Hj Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata selaku NGO yang ditubuhkan bagi mengurus kebajikan bekas atlet negara, mereka komited dalam menyediakan peluang kepada bekas atlet negara untuk menggunakan ilmu dan pengalaman mereka bagi menyara kehidupan sambil menyumbang semula kepada masyarakat.

“YAKEB amat berterima kasih kepada PROLINTAS selaku pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang dalam menaja program dan kami berharap ini menjadi contoh kepada entiti korporat lain di luar sana untuk turut sama bekerjasama dalam menjayakan hasrat murni ini,” tambah beliau.

Program ini memberi fokus kepada dua jenis sukan iaitu olahraga dan memanah. Ia membabitkan penglibatan sekumpulan bekas atlet negara dan 30 pelajar SBJK. Beberapa sesi latihan telah dijalankan sejak awal Ogos lalu sebagai persiapan kepada pelajar SBJK terpilih untuk menyertai beberapa acara sukan termasuk Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Peringkat Zon Keramat.

YAKEB turut berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan persatuan sukan lain seperti Persatuan Memanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bekas-bekas atlet sukan memanah untuk mencungkil bakat memanah dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan.

Bagi atlet veteran yang juga pemegang rekod acara rejam lembing wanita kebangsaan, Norsham Yoon, 65, diberi peluang untuk mengasah bakat sukan anak-anak SBJK adalah satu penghargaan buat dirinya.

“Atas faktor usia, saya telah digugurkan daripada barisan jurulatih olahraga paralimpik kebangsaan. Jadi, dengan tugasan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya dari segi kewangan untuk kelangsungan hidup dalam fasa endemik yang mencabar ini,” kata pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu.

“Mendidik anak-anak istimewa dari SBJK ini memang mencabar, tidak seperti melatih atlet profesional terutama dari segi komunikasi. Namun, saya amat berbangga sebab pengalaman saya yang menjangkau lebih 30 tahun ini dapat dicurahkan kepada mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Pengetua SBJK Hj Azman Mashuri memaklumkan menerusi program sukan sedemikian, prestasi dan kehadiran pelajar ke sekolah dilihat lebih baik seterusnya memberi sinar harapan buat masa depan mereka.

“Rata-rata pelajar sekolah ini datang daripada keluarga miskin tegar dan berdepan pelbagai masalah. Untuk menggalakkan mereka ke sekolah memang amat mencabar kerana ada yang terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan. Program sukan seperti ini sekurang-kurangnya menyuntik minat dan semangat mereka untuk hadir ke sekolah,” ujar beliau.

Bagi salah seorang pelajar SBJK Phullus Wong, 17, yang dilahirkan dalam keluarga daif amat teruja diberi kesempatan menerima latihan dan bimbingan daripada golongan professional sukan.

“Saya sangat bersyukur dan gembira sebab ada NGO dan syarikat korporat seperti YAKEB dan PROLINTAS yang prihatin terhadap kebajikan kami di sini. Hidup saya dan kawan-kawan memang susah. Dengan adanya bantuan seperti ini, sekurang-kurangnya saya dapat kemahiran asas yang diperlukan untuk lebih maju. Diharap cita-cita saya mahu jadi jaguh sukan atau tukang masak berjaya satu hari nanti tercapai dan mampu membantu keluarga hidup lebih selesa,” kata Phullus.

SBJK adalah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditubuhkan untuk menyediakan akses pendidikan dan bimbingan khusus buat anak-anak jalanan di sekitar Kuala Lumpur yang terpinggir di negara ini. Ia adalah satu-satunya sekolah kerajaan yang berfungsi seperti itu di dunia. SBJK telah dibuka sejak 19 Ogos 2013 dengan pendidikan diberikan secara percuma.

Penubuhannya selari dengan piagam Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu semua kanak-kanak berhak mendapatkan akses pendidikan. Ketika ini, SBJK mempunyai 145 pelajar melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia antara empat dan 19 tahun. Antara syarat kemasukan ke sekolah itu adalah kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri sah, dibelenggu kemiskinan, yatim piatu yang tinggal di pusat jagaan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan terlibat atau mangsa kepada gejala sosial.